OGOS 2023

OCI Holdings Rancang Buat Pelaburan Di Sarawak


SEOUL: OCI Holdings merancang untuk melabur RM2.8 bilion sebagai dana tambahan bagi menghasilkan polysilicon dalam industri semikonduktor di Sarawak.

Pelaburan itu dibuat berikutan kejayaan pelaksanaan projek itu di Sarawak sebelum ini dalam mengembangkan penghasilan polysilicon untuk industri solar.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan ketika mengetuai delegasi Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan terhadap Pengerusi OCI Holdings, Lee Woo Hyun di ibu pejabat OCI di Seoul, Korea Selatan pada Rabu mengucapkan terima kasih kepada pihak OCI atas pelaburan lebih RM8 bilion di Sarawak.

Selain itu, OCI dan Kumho Petro Chemical Group bekerjasama dalam projek bernilai RM1.7 bilion untuk menghasilkan epiklorohidrin (ECH) melalui kuasa hidroelektrik dengan bio-gliserin dan garam semula jadi.

Semasa lawatan itu, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Sarawak Energy Berhad, James Ung telah menyerahkan surat jaminan kepada  Presiden OCIM Sdn.  Bhd, Choi Sung Gil mengenai kuasa yang akan diperuntukkan secara berperingkat, untuk pelaburan syarikat di Sarawak.

Awang Tengah juga memuji komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) OCI di Sarawak seperti pemasangan panel solar di beberapa sekolah untuk memberi kesedaran tentang pembangunan tenaga hijau di Sarawak.

Dalam lawatan itu, beliau turut melawat Pusat Penyelidikan dan Pembangunan OCI dan melawat kemudahan tersebut yang menyelidiki pembangunan generasi akan datang untuk sektor tenaga.

Sumber dari : Jiwa Bakti